Thursday, November 20, 2008

Aku, Dia dan Masjid I

Tuhanku,
kala gerimis masih mengguyur
sempat ku jejaki ke rumahMu
di daerah sepi dibalut ketenangan

Mentari malu-malu di balik kepul awan kelabu
masih berat menghamilkan jernih titis hujan
dan menara masjid tampak berbalam menujah langit
sesayup mata memandang
tampak gah disamping kubah-kubah indah

Mataku tersorot pada ukiran-ukiran halus
pada dinding dan mimbar di mehrab
dan dadaku terasa lapang
kala dahiku sujud di sejadah
masih terbau haruman attar
tinggalan jemaah terdahulu

Aku mohon menjengah seketika di serambiMu
izinku kutip kuntum-kuntum pengindah halaman
untukku ukir di kanvas kenangan...

Kembara Masjid untuk pertama kali ini berkisar tentang
MASJID DI RAJA SULTAN ALAEDDIN.




Masjid Alaeddin dikenali juga dengan nama Masjid Bandar telah dibina oleh Sultan Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Selangor ke lima.



Masjid ini didirikan pada tahun 1905 iaitu bersamaan dengan pembinaan
Istana Bandar (Istana Alaeddin).


Suasana di mehrab

Semasa hayat baginda, Sultan Alaeddin telah menggunakan masjid ini untuk menunaikan sembahyang Jumaat.


Khat Kalimatullah tertera pada syiling masjid.



Ukiran bermotifkan bunga pada dinding mimbar.

Dari segi reka bentuk, masjid ini dikatakan menerima pengaruh seni bina
dari kerajaan Deli di Medan, Sumatra Utara.



Penjaga masjid macho agak kurang senang ketika gambarnya diambil.
(Maaf Encik, saya cuma nak ambil gambar masjid bukan nak ambil gambar Encik...)

Masjid Alaeddin telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapaktanah Bersejarah di Bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 24.07.1980.

Terdapat sebuah frame gambar yang tertulis di bawahnya "DYMM Sultan Alaeddin Sulaiman Shah bersemayam di atas mimbar masjid Diraja Sultan Kg. Bandar Kuala Langat membaca kuthbah Jumaat pada 1937".

No comments: