Wednesday, June 24, 2009

Rindu Semakin Luruh

Salamz. Tadi malam sewaktu aku dan Pian tiba di Gerai Buragas, Ustaz Asri dan Azadan terlebih dulu sampai. Selepas menyalami mereka berdua aku duduk bertentangan Ustaz Asri. Pian sibuk menyampaikan kad 'kahwin' adiknya yang akan berlangsung pada 27 Jun nanti. Fiza tidak menyertai kami kerana gangguan kesihatan. Kami berempat mula berbual dan mencari topik-topik perbincangan yang hangat lagi 'melodi'.

Pembantu gerai muncul dengan semangkuk kuew tiaw sup yang masih berasap. Ustaz Asri menyambutnya. Aku menelan air liur bila terbau sup yang harum itu. Azadan hanya memesan segelas 'fresh orange'. Masih kenyang katanya.

Sememangnya pertemuan seperti malam tadi adalah rutin kami. Kebetulan kami terus bersahur untuk puasa hari ini (1 Rejab). Kadang-kadang kami berjumpa di AMS Smart, kadang-kadang di Jaluran dan kadang-kadang hanya di Rumah Nur.

Ustaz Asri menghirup kuew tiaw sup manakala Azadan menyedut fresh oren. Aku dan Pian masih lagi menunggu pembantu gerai datang untuk membuat pesanan. Ternyata layanan agak kurang memuaskan. Mungkin mereka keletihan agaknya. Setelah dipanggil barulah kami dapat membuat pesanan. Untuk 'mudah & cepat' kami memesan menu yang sama; Nasi Goreng Kampung dengan sup kosong.

Bual punya bual, borak punya borak tibalah makanan yang dipesan. Agak terkejut juga bila diberi hanya semangkuk sup kosong. "Mana satu lagi" tanya Pian. "Tadi odernya satu aja" pantas pembantu gerai warga Indon menjawab. "Ye lah..kalau dah order dua nasi tu bagi la dua sup" selar Pian pula. Tak lama kemudian sampai lah mangkuk sup yang satu lagi. Kami pun makan sahur sambil berbual lagi.

Sedang aku melayan nasi goreng kampung yang agak 'gagal', Ustaz Asri, Azadan dan Pian bercerita satu topik yang aku tak tau hujung pangkalnya. "Eh! cerita apa ni" aku mencelah. Tak mahu ketinggalan. "Ni...anak saudara Ustaz Asri meninggal Ahad lepas" Azadan memberi penjelasan. "Innalillah..., kenapa?, sakit apa" tanyaku ingin tahu. Soalan tipikal yang biasa ditanya bila mendengar berita kematian. "Aksiden motor" beritahu Ustaz Asri pula.

Ustaz Asri terus melanjutkan cerita. Dari sebelum hingga selepas kejadian. Sesekali Azadan mencelah. Kisah kematian yang sungguh meruntun jiwa. Iris aku mula membasah. Bulu rumaku meremang. Aku benar-benar tersentuh. Ustaz Asri juga bergenang airmata. Aku menahan sebak. Azadan dan Pian pun sama. Kami amat sedih saat itu.

Nasi goreng kampung bagai tak tertelan rasanya. Terpaksa aku tolak dengan air suam. Azadan memanggil pembantu gerai untuk memesan Udang Goreng Tepung untuk dua orang makan. "Udang habis bang" beritahu pembantu gerai. "Sotong?" tanya Azadan. "Sotong ada 3 ekor" aku menyampuk. Pian terkekeh-kekeh. Azadan dan Ustaz Asri terpana melihat Pian tertawa.

Sotong Goreng Tepung sampai dan Azadan terus menyambutnya. Sotong dipotong-potong, digoreng bersalutkan tepung. Tepungnya mengembung dek serbuk penaik yang ditambah ke dalam adunan. Sepiring sos cili disertakan sebagai pencicah.

Aku segera menghabiskan cicahan terakhir ketika Ust. Asri membuat bayaran. Terasa malu pulak bilamana setiap kali makan dengannya, dia yang membayar semua. Kita nak bayar dia kata, "Tak pe, tak pe, ana bayar semua". Semoga Ustaz lebih dimurahkan rezeki.

Di kamar, aku sukar melelapkan mata. Berpusing ke kanan dan ke kiri. Mulut berkumat-kamit membaca '3 qul' dan doa tidur. Kisah sedih mengenai kematian anak saudara Ustaz Asri berlegar-legar di ingatan. Terlalu menyusuk perasaan. Akhirnya mataku terlelap jua setelah rangka-rangka lirik ini tercipta.

Rindu Semakin Luruh

Ketika maut menjemputmu

Seisi alam berwajah sayu

Hati ibu dihiris sembilu

Ayah merintih meruntun kalbu



Khabar itu mengirim duka
Nenda menangis tiada puasnya
Potretmu beralun suara

Berbicara di mana-mana


Jiwa mudah tersentuh

Lambaianmu semakin jauh

Sebak berhimpun sendu berlabuh

Dan rindu semakin luruh



Terlalu awal pemergianmu

Begitu cepat kehilanganmu

Sungguh ajal sentiasa menunggu

Tidak bertangguh tiada berwaktu



Baru semalam kau ada di sisi

Hari ini engkau tiada lagi

Demikian ketentuan Ilahi

Bersama hikmah yang mengiringi...



Al-fatihah.

1 comment:

Anonymous said...

salam,saya copy / paste sajak ini ke blog saya,juga saya sertakan link blog ito lara ,yang punya hak cipta,sekadar berkongsi,terimakasih.