Tuesday, December 30, 2008

Hati Mahmudah

Sekeping hati mutiara sari diri
mengukir gerak melakar nurani
Bisikannya terlalu sembunyi
Firasatnya amat payah dimengerti

Hati Mahmudah berbunga indah
Rimbun tumbuhnya berdaun berbuah
Mengawal peribadi menjaga maruah
Mengadun jiwa pengasih dan pemurah

Akan terpelihara seluruh anggota
Bila mulus dan murni sifatnya
Akan calar citra insani tercipta
Kala kekeruhan menyelimutinya

Memancar ketaatan dan ketulusan
Memugar godaan iblis dan syaitan
Melentur kekerasan mendakap keluhuran
Mengakui kesilapan menghulur kemaafan

Betapa hati mahmudah amat berharga
Meminggir hasad dan iri dari bertakhta
Menyingkir khianat dan nista dusta
Mengikis noda mazmumah dalam dada

Bermujahadah melawan goda nafsu
Mensyukuri nikmat Allah yang tepu
Keikhlasan mewarnai ruang dan waktu
Natijah pada kemurnian akhlak dan laku


Aliflamra
Disember ‘08

1 comment:

Husaini said...

Lirik abg ito x penah mngecewakan.... tahniah...